Sabtu, 26 Oktober 2013

ENTRI BLOG 2: "Negara Dikejutkan Lagi"

Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah kejutan sebenar yang mengejutkan negara ini bila tajuk sebegini ditulis. Mungkin ramai yang berandaian bahawa entri kali ini akan mengupas tentang kes pegawai bank yang mati ditembak secara kejam oleh pengawal keselamatan. Sebenarnya tidak pun. Malah tidak terlintas langsung pun untuk menulis tentang Bajet 2014 yang dah dibentangkan Jumaat lepas. Memang tak dinafikan pernah suatu ketika negara kita digemparkan dengan insiden tembak-menembak yang membabitkan orang-orang kenamaan mahupun rakyat biasa. Kes-kes begini acapkali terpampang di dada-dada akhbar. Kali ini kes yang sama berulang malah lebih dahsyat dan mengerikan. Itu hanya selingan.

Sebenarnya tak lama sebelum kejadian pegawai bank itu mati ditembak, satu berita lebih dahsyat dimuatnaik ke laman sosial facebook. Kalau dibaca dan diteliti secara mendalam ianya lebih mengaibkan. Kenapa begitu? Gambar yang dimuatnaik bersama itu lebih menarik perhatian pembaca daripada maklumat yang nak disampaikan. Malah gambar yang terpapar itu pula adalah imej yang diambil daripada video. Maksudnya ada rakaman aksi, bukannya tangkapan gambar semata-mata. Dua remaja dilihat melakukan hubungan seks secara sulit dalam semak. Buat projek orang cakap. Lebih dahsyat lagi aksi kedua-duanya dirakam oleh orang lain yang mungkin dah lama perhatikan gerak-geri mereka. Urut dada sajalah. Kalaulah video ini ditonton oleh kedua-dua ibubapa pasangan tersebut, mungkin boleh pengsan dibuatnya. Cukuplah rasanya sekadar menunjukkan gambar sahaja. Itu baru sedikit.

Inilah gambar yang dimaksudkan. Maaf, bahagian sensitif perlu disensorkan.
















Kes-kes begini diikutkan telah merebak lebih awal lagi. Tambahan pula dengan wujudnya media sosial yang bermacam-macam sekarang mempercepatkan lagi proses penyebaran “virus” dahsyat ini kepada masyarakat. Sebelum ini dalam laman sosial yang sama, dua remaja memuatnaik gambar sambil berpelukan dimana perempuan hanya beralaskan tuala dan lelaki tidak berbaju. Gambar dimuatnaik sebagai tanda sayang kononya. Paparkan kepada umum. Dah ada ikatan atau belum? Kalau ya sekalipun wajarkah didedahkan kepada umum. Memang tak faham dengan pemikiran remaja sekarang. Adakah media sosial sekarang merupakan tempat untuk melepaskan segala perasaan dan tindakan? Adakah media sosial ini juga sebenarnya punca kepada semua permasalahan ini.


Menurut Peg Streep (2013), seorang pemerhati trend digital dan remaja, beliau menulis dalam laman Psychology Today, terdapat empat sebab utama media sosial menjadi kegilaan remaja.

Pelbagai rangkaian media sosial

1. Mendapatkan perhatian
Hasil kajian dari Pew Research Center Study , AS, menunjukkan bahawa sebahagian besar remaja berkongsi maklumat di media sosial. Pelbagai maklumat menjadi kunci bagi mereka untuk mendapatkan perhatian bagi diri mereka sendiri. Mereka seringkali mengeluh tentang oversharing yang dilakukan pengguna media sosial lain. Padahal, mereka sendiri juga terjebak di dalamnya. Mereka berkongsi begitu banyak hal (walaupun yang bersifat peribadi) di dalam media sosial.

2. Meminta pendapat
Remaja seringkali meminta pendapat dan persetujuan rakan-rakannya untuk memutuskan sesuatu. Itu wajar jika di dunia nyata. Namun, dengan adanya media sosial, mereka akan cuba meminta pendapat untuk hal yang tidak penting. Contohnya, mereka akan sering memuatnaik gambar untuk sekadar melihat bagaimana komen rakan-rakannya. Semakin banyak pujian atau sekadar " Like " di Facebook akan membuat mereka merasa popular. Dengan kata lain, media sosial menjadi penunjuk populariti meraka. Ada "kepuasan intrinsik" pada remaja jika mereka popular di media sosial. Bukan hanya melalui gambar, remaja seringkali menulis status yang berisikan permintaan pandangan daripada rakan-rakan mereka . Ini bukanlah hal yang penting untuk dibahagikan.

3. Meningkatkan imej
Media sosial tidak akan mampu menghuraikan peribadi seorang pengguna secara lengkap. Oleh sebab itu, remaja menjadikan media sosial sebagai penambah imej positif mereka. Remaja akan cenderung memberikan kesan yang baik ketika di media sosial. Mereka berharap orang lain melihat mereka seperti apa yang mereka harapkan.

4. Ketagihan
Media sosial membuat remaja ketagih. Mereka akan sukar mengalihkan pandangan dari situ. Mereka "terperangkap" dalam lingkaran drama media sosial. Walaupun mereka terus mengeluh tentang "drama" dalam media sosial, hakikatnya mereka juga pelaku drama tersebut.

Berdasarkan kajian tersebut dapat disimpulkan bahawa media sosial sebenarnya bukanlah antara sebab utama peningkatan masalah sosial remaja mahupun kes jenayah. Kalau dilihat secara umum, media sosial hanyalah sebagai medium perhubungan antara masyarakat dengan menggunakan teknologi. Dalam dunia sekarang, jumlah media sosial cukup banyak. Peningkatan ini jika dilihat boleh memberi impak negatif tetapi masyarakat itu sendiri perlu bijak dan peka dengan penggunaan medium ini ke arah jalan yang lebih baik atau positif. Bukannya nak mengharapkan orang lain. Diri sendiri dulu kena buat. Bagi remaja tindakan mereka perlu lebih berhati-hati, nanti tak pasal-pasal malu dengan perbuatan sendiri. Contoh mudah, video isteri pemain bola sepak Kelantan yang menjadi popular gara-gara tindakan sendiri yang memaki pengawal keselamatan. Tujuan nak mengaibkan orang lain tapi memakan diri sendiri. Alahai Mat Yo! Bukan nak mengata tetapi maksudnya jelas. 



Baru-baru ini juga bagaimana seorang remaja perempuan berbangsa Cina yang hilang ditemui mati selepas bertemu dengan rakan media sosial yang baru dikenali. Sudahlah belum kenal tetapi beranikan diri untuk berjumpa. Akhirnya dia telah dibunuh dan mayatnya telah disumbatkan dalam beg. Inikah yang dikatakan cinta pandang pertama? Mungkin? Tiada niatpun untuk menghina si mati, tetapi kes ini boleh dijadikan iktibar kepada remaja yang lain. Itu belum lagi diceritakan kes-kes ditipu melalui perniagaan secara atas talian terutamanya membabitkan rangkaian media sosial seperti facebook dan twitter. Kalau nak disenaraikan di sini, sangat banyak. Mungkin kena tambah muka surat lagi.

Remaja perempuan yang dipercayai hilang dan dibunuh
kejam oleh rakan kenalan internet.
Apa-apa pun, media sosial juga perlu berperanan untuk kebaikan. Datuk Seri Dr. Rais Yatim (2011) ketika berucap pada Persidangan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Telecom World 2011 di Geneva menyatakan, media sosial perlu berperanan untuk membawa kebaikan kepada manusia dan bukan sekadar berpaksikan pada kegemilangan dan tarikan mencipta gelombang perubahan. Media sosial mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat dan patut beroperasi mengikut undang-undang dan hak asasi individu. Apa yang sedang diperkatakan ialah mengenai peranan media sosial sebagai jentera perubahan dan pencipta permainan baru tetapi kita tidak bercakap mengenai bagaimana kita boleh menggunakannya untuk kebaikan masyarakat dan keluarga dan untuk kita tidak kehilangan nilai positif kita. 

Penggunaan media sosial, kata beliau, patut digalakkan tetapi pihak yang terbabit secara langsung dalam perkara itu patut mempunyai konvensyen mereka sendiri mengenai apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat. Mereka yang terbabit secara langsung dalam media sosial ini perlu berpegang pada nilai tertentu mengenai kesesuaian amalan berkenaan.

            Oleh itu, apa yang cuba diceritakan disini adalah bagaimana media sosial itu memberi pengaruh dalam masyarakat. Apakah tindakan kita dalam menggunakan media sosial sekarang ini sejajar dengan implikasi yang bakal diperoleh? Pastinya pemilik-pemilik laman sosial ingin menjana keuntungan tetapi mereka tidak berniat untuk mencipta laman-laman sosial tersebut sebagai kaedah untuk mencipta amalan-amalan atau tindakan negatif daripada pengguna. 


Facebook antara laman sosial
yang popular di dunia
Sekiranya perkara itu berlaku bukan atas kehendak mereka. Kita sendirilah yang kena fikir. Persoalannnya media sosial yang ada pada masa sekarang lebih mendatangkan kebaikan atau keburukan? Seiring dengan perkembangan teknologi semasa, adakalanya media sosial amat diperlukan tetapi pada masa yang sama kita juga mempunyai saluran yang lain. Wajar atau tidak kalau media sosial ini dihapuskan? Pilihan masing-masing.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan