Selasa, 29 Oktober 2013

CONTOH KARANGAN TERBAIK SPM 2006.
“Faktor-faktor Peningkatan Kadar Kemalangan Jalan Raya”

Kemalangan boleh ditakrifkan sebagai suatu kejadian malang yang menimpa seseorang di luar dugaan. Kebiasaannya, kemalangan akan memberi impak yang besar kepada sesiapa yang mengalaminya. Tambahan pula igauan misteri ini merupakan salah satu daripada pembunuh utama masyarakat Malaysia. Setiap tahun kadar kemalangan tidak pernah berkurang malah statistik menunjukkan peningkatan yang ketara terutamanya menjelang sambutan perayaan.

Berdasarkan kajian yang diperolehi, ternyatalah peningkatan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia disebabkan oleh sebab-sebab tertentu dan munasabah. Kecuaian pengguna jalan raya menjadi elemen penting dalam mempengaruhi peningkatan kadar kemalangan jalan raya. Pengguna jalan raya tidak hanya dikhususkan kepada pemandu tetapi juga melibatkan semua pihak yang menggunakan jalan raya. Fokus utama kecuaian pengguna jalan raya adalah pemandu kerana ramai orang menggunakan kenderaan seperti kereta, lori, bas dan seumpamanya. Kecuaian ini boleh berlaku kerana sikap pemandu itu sendiri yang lalai dan tidak berhemah semasa memandu. Kecuaian penunggang motosikal pula lebih sinonim dengan sikap mereka yang sesetengahnya suka menunjuk-nunjuk kehandalan di jalan raya.

Namun tidak semua faktor itu menjadi penyebab utama kadar kemalangan meningkat. Keadaan fizikal jalan raya yang sudah teruk seperti berlubang-lubang dan ketidaksekataan jalan boleh juga dirumuskan sebagai salah satu penyebab kadar kemalangan meningkat. Hal yang demikian kerana pengguna jalan raya yang melalui zon bahaya itu tidak dapat mengawal kenderaan dengan baik lalu terbabas di kawasan sekitarnya. Justeru itu, penyelenggaraan jalan raya yang baik perlu dilaksanakan supaya tidak banyak lagi pengguna lain yang akan menjadi mangsanya.

Selain itu, masalah ini boleh berlaku disebabkan ketidakprihatinan pemandu untuk menserviskan kereta mereka dan meneliti kereta sebelum bertolak pergi. Apabila masalah ini berlaku ketika sedang memandu mulalah berlaku kejadian yang tidak diingini. Ketika itu masing-masing menunding jari bagi melarikan diri dari kesalahan.

Walaupun begitu, sesetengah pengguna jalan raya tidak mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dan ini akan mempengaruhi peningkatan kadar kemalangan jalan raya. Mereka merasakan jalan raya itu adalah hak milik mereka lalu bebas menggunakannya tanpa rasa bersalah sedangkan mereka telah bercanggah dari segi undang-undang. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana sebagai pengguna kita masing-masing tahu tanggungjawab semasa di jalan raya dan ini dapat menunjukkan bangsa Malaysia yang prihatin terhadap undang-undang.

Meskipun perkara itu boleh direalisasikan namun kejadian lumba haram yang masih tidak dapat dibendung menjadi penghalang kepada semua pihak yang menginginkannya. Seperti kita sedia maklum, budaya kuning ini semestinya dipelopori oleh anak-anak muda kerana mereka lebih mudah terpengaruh dengan gejala negatif dan masih belum untuk berfikiran matang. Pengawasan pihak berkuasa yang kurang juga menyebabkan masalah ini terus berlaku dan menambahkan jumlah peningkatan kemalangan jalan raya di Malaysia.

Oleh yang demikian, semua pihak perlulah berperanan dan bertanggungjawab terhadap masalah ini supaya kerjasama yang erat dapat dijalinkan. Perkara sebegini bukan sahaja dapat mengurangkan kadar kemalangan malah menjadikan negara selamat dan terjamin daripada kecelakaan yang masih menghantui masyarakat Malaysia sehingga kini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan