Selasa, 29 Oktober 2013

ENTRI BLOG 3: “Manis kerana Gula”


Sekarang ini gula menjadi begitu popular. Dimana saja orang akan bercakap mengenainya. Baik di kedai makan mahupun rumah. Apatah lagi subjek ini menjadi lebih luas sebaik saja Bajet 2014 dibentangkan. Subsidi dikurangkan lagi kepada 34 sen. Itulah kesnya. Sebenarnya barang kawalan ini seringkali menjadi isu utama tidak kira sama ada ia dimasukkan dalam pembentangan bajet negara ataupun tidak. Tetapi satu perkara yang jelas adalah kenapa gula menjadi begitu dominan dalam masyarakat Malaysia? Siapakah “gula” ini sebenarnya? Satu perkara yang agak subjektif untuk dibincangkan kerana ia adalah barang keperluan bukannya manusia. Dari segi maksud gula adalah makanan tanpa khasiat yang paling banyak dimakan dan memudaratkan. Gula cuma menambah kalori dan akan disimpan sebagai lemak di dalam tubuh. Ia tidak langsung berzat malah akan menyingkirkan zat yang sedia ada dalam tubuh. Gula juga adalah penyebab utama kegemukkan! Jelasnya gula adalah pemanis dalam masakan atau minuman tapi bukan dalam kehidupan seharian. Maksudnya?

Setiap orang pasti akan berasa tidak selera untuk menjamah makanan sekiranya tiada unsur rasa atau rasa tawar itu wujud dalam makanan ataupun minuman. Kita tidak dapat menikmati sesuatu makanan atau minuman itu dengan lazat. Bukannya garam itu tidak membantu tetapi adakah wajar untuk kita memakan makanan yang masin setiap hari? Bolehkan kita bertahan? Pastinya penyakit lebih banyak dihidapi oleh masyarakat kerana kekurangan zat dalam badan. Hakikatnya, kemanisan itu juga sebenarnya membantu masyarakat mencari penyakit. Berdasarkan alasan yang digunakan dalam pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri baru-baru ini, peningkatan subsidi disebabkan penyakit kencing manis atau diabetes kini menjadi ancaman utama negara. Laporan kesihatan yang dikeluarkan juga menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai pesakit diabetes yang tertinggi di dunia. Walau bagaimanapun, punca utama bukannlah daripada gula semata-mata tetapi pengambilan karbohidrat yang tinggi dan juga kurang bersenam oleh masyarakat. Mahu atau tidak masyarakat perlu menerima kenyataan tersebut.



Selain faktor obesiti yang turut menjadi punca kepada penyakit diabetes ini, penggunaan gula dalam kehidupan seharian juga memainkan peranan penting sehinggakan penyakit ini berada pada tahap yang berbahaya. Bagaimana penggunaan gula yang menjadi sebahagian daripada bahan perasa dalam masakan ini boleh menjadi satu faktor kepada salah satu pembunuh utama masyarakat Malaysia? Jawapannya ada pada kita sendiri. Tepuk dada tanya selera.
Kalau dah 27 sudu teh sehari dalam penggunaan harian, macam mana tak dapat penyakit? Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan, dalam masa lima tahun lagi dianggarkan kira-kira lima juta rakyat negara ini menghidap penyakit yang berkaitan dengan gula.Pengerusi Kebangsaan Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Dato’ Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pada masa sama kerajaan turut membelanjakan sejumlah wang untuk merawat pesakit terbabit. Perkara macam ini boleh dielak sebenarnya kalau kita tahu cara penggunaan gula itu dalam diet harian.

Berbalik pada perkara ini juga, apabila timbul sesuatu isu berkenaan gula, ramai akan melatah walhal perkara itu adalah normal. Kesnya bermusim. Maklumlah nama pun Malaysia. Dengan pengurangan subsidi ke atas barang utama masyarakat ini, maka akan timbul pula cerita mengenai bekalan gula tidak mencukupi. Kenapa setiap kali harga gula dinaikkan, barang tersebut akan berkurangan? Jawapan ada pada pengeluar dan pembekal. Kadangkala perkara ini disebabkan oleh mentaliti orang kita juga yang bimbang bahawa barang tersebut akan habis maka diborong sepuas-puasnya. Lebih menghairankan apabila harga minyak diumumkan naik, tidak ada pula isu minyak tidak cukup malah berpusu-pusu orang ramai ke stesen minyak untuk mengisinya sehari sebelum harga dinaikkan. Tapi bekalan tidak pernah putus. Alahai gula! Manis engkau berbisa.

Mengikut tinjauan yang dilakukan oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) terhadap krisis bekalan gula pada tahun 2009/2010, terdapat beberapa sebab dan berikut adalah jumlah undi untuk tinjauan tersebut.

1.    Penguatkuasaan yang lemah                            = 48.5%        
2.    Manipulasi oleh pemborong                              = 21.4%        
3.    Pembelian panik pengguna                               = 10.7%        
4.    Manipulasi oleh pengilang gula                         = 7.8%          
5.    Penggunaan gula bersubsidi oleh industri          = 5.8%          
6.    Penyeludupan ke negara jiran                           = 5.8%




Sungguhpun begitu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Komunikasi Dan Kepenggunaan sentiasa melakukan proses penambahbaikan, langkah-langkah pemulihan dan pemantauan berkaitan penyeludupan apabila membabitkan krisis bekalan gula ini. Sejauhmana keberkesanan daripada langkah yang diambil, kita hanya boleh menunggu dan melihat. Tetapi apa yang pasti, cukup ataupun tidak, sakit ataupun sihat, gula tetap akan menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat seharian. Baik atau buruk gula, kita tetap mahukannya. Namun, apa yang lebih baik adalah kurangkan manis dalam minuman, lebihkan manis dalam senyuman. Kesihatan lebih terjamin!




Tokoh Sasterawan Negara
----------------------------------------  MALAYSIA  ---------------------------------------


Sasterawan Negara adalah gelaran yang diberikan kepada pejuang-pejuang seni kesusasteraan tanah air oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menerusi Anugerah Sastera Negara (ASN). Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan bertaraf negara kepada tokoh sasterawan yang masih hidup yang menulis dalam Bahasa Melayu. Seseorang itu layak diberi pengiktirafan ini berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh barisan panel penilai anugerah dimana ahli-ahli panel ini dilantik oleh YAB Perdana Menteri yang terdiri daripada kalangan cerdik pandai bidang kesusasteraan, kebudayaan, kemasyarakatan, keagamaan dan lain-lain yang mengikuti serta memahami perkembangan dan kemajuan sastera. Tokoh Sasterawan Negara menurut penilaian panel adalah berdasarkan sumbangan yang cemerlang yang telah diberikan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi. Sejak terlaksananya program pengiktirafan ini dari tahun 1981 sehingga sekarang, seramai 12 orang tokoh sasterawan telah menerima Anugerah Sastera Negara.

Senarai 12 orang Tokoh Sasterawan Negara dari tahun 1981 hingga 2013



CONTOH KARANGAN TERBAIK SPM 2006.
“Faktor-faktor Peningkatan Kadar Kemalangan Jalan Raya”

Kemalangan boleh ditakrifkan sebagai suatu kejadian malang yang menimpa seseorang di luar dugaan. Kebiasaannya, kemalangan akan memberi impak yang besar kepada sesiapa yang mengalaminya. Tambahan pula igauan misteri ini merupakan salah satu daripada pembunuh utama masyarakat Malaysia. Setiap tahun kadar kemalangan tidak pernah berkurang malah statistik menunjukkan peningkatan yang ketara terutamanya menjelang sambutan perayaan.

Berdasarkan kajian yang diperolehi, ternyatalah peningkatan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia disebabkan oleh sebab-sebab tertentu dan munasabah. Kecuaian pengguna jalan raya menjadi elemen penting dalam mempengaruhi peningkatan kadar kemalangan jalan raya. Pengguna jalan raya tidak hanya dikhususkan kepada pemandu tetapi juga melibatkan semua pihak yang menggunakan jalan raya. Fokus utama kecuaian pengguna jalan raya adalah pemandu kerana ramai orang menggunakan kenderaan seperti kereta, lori, bas dan seumpamanya. Kecuaian ini boleh berlaku kerana sikap pemandu itu sendiri yang lalai dan tidak berhemah semasa memandu. Kecuaian penunggang motosikal pula lebih sinonim dengan sikap mereka yang sesetengahnya suka menunjuk-nunjuk kehandalan di jalan raya.

Namun tidak semua faktor itu menjadi penyebab utama kadar kemalangan meningkat. Keadaan fizikal jalan raya yang sudah teruk seperti berlubang-lubang dan ketidaksekataan jalan boleh juga dirumuskan sebagai salah satu penyebab kadar kemalangan meningkat. Hal yang demikian kerana pengguna jalan raya yang melalui zon bahaya itu tidak dapat mengawal kenderaan dengan baik lalu terbabas di kawasan sekitarnya. Justeru itu, penyelenggaraan jalan raya yang baik perlu dilaksanakan supaya tidak banyak lagi pengguna lain yang akan menjadi mangsanya.

Selain itu, masalah ini boleh berlaku disebabkan ketidakprihatinan pemandu untuk menserviskan kereta mereka dan meneliti kereta sebelum bertolak pergi. Apabila masalah ini berlaku ketika sedang memandu mulalah berlaku kejadian yang tidak diingini. Ketika itu masing-masing menunding jari bagi melarikan diri dari kesalahan.

Walaupun begitu, sesetengah pengguna jalan raya tidak mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dan ini akan mempengaruhi peningkatan kadar kemalangan jalan raya. Mereka merasakan jalan raya itu adalah hak milik mereka lalu bebas menggunakannya tanpa rasa bersalah sedangkan mereka telah bercanggah dari segi undang-undang. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana sebagai pengguna kita masing-masing tahu tanggungjawab semasa di jalan raya dan ini dapat menunjukkan bangsa Malaysia yang prihatin terhadap undang-undang.

Meskipun perkara itu boleh direalisasikan namun kejadian lumba haram yang masih tidak dapat dibendung menjadi penghalang kepada semua pihak yang menginginkannya. Seperti kita sedia maklum, budaya kuning ini semestinya dipelopori oleh anak-anak muda kerana mereka lebih mudah terpengaruh dengan gejala negatif dan masih belum untuk berfikiran matang. Pengawasan pihak berkuasa yang kurang juga menyebabkan masalah ini terus berlaku dan menambahkan jumlah peningkatan kemalangan jalan raya di Malaysia.

Oleh yang demikian, semua pihak perlulah berperanan dan bertanggungjawab terhadap masalah ini supaya kerjasama yang erat dapat dijalinkan. Perkara sebegini bukan sahaja dapat mengurangkan kadar kemalangan malah menjadikan negara selamat dan terjamin daripada kecelakaan yang masih menghantui masyarakat Malaysia sehingga kini.

Sabtu, 26 Oktober 2013

ENTRI BLOG 2: "Negara Dikejutkan Lagi"

Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah kejutan sebenar yang mengejutkan negara ini bila tajuk sebegini ditulis. Mungkin ramai yang berandaian bahawa entri kali ini akan mengupas tentang kes pegawai bank yang mati ditembak secara kejam oleh pengawal keselamatan. Sebenarnya tidak pun. Malah tidak terlintas langsung pun untuk menulis tentang Bajet 2014 yang dah dibentangkan Jumaat lepas. Memang tak dinafikan pernah suatu ketika negara kita digemparkan dengan insiden tembak-menembak yang membabitkan orang-orang kenamaan mahupun rakyat biasa. Kes-kes begini acapkali terpampang di dada-dada akhbar. Kali ini kes yang sama berulang malah lebih dahsyat dan mengerikan. Itu hanya selingan.

Sebenarnya tak lama sebelum kejadian pegawai bank itu mati ditembak, satu berita lebih dahsyat dimuatnaik ke laman sosial facebook. Kalau dibaca dan diteliti secara mendalam ianya lebih mengaibkan. Kenapa begitu? Gambar yang dimuatnaik bersama itu lebih menarik perhatian pembaca daripada maklumat yang nak disampaikan. Malah gambar yang terpapar itu pula adalah imej yang diambil daripada video. Maksudnya ada rakaman aksi, bukannya tangkapan gambar semata-mata. Dua remaja dilihat melakukan hubungan seks secara sulit dalam semak. Buat projek orang cakap. Lebih dahsyat lagi aksi kedua-duanya dirakam oleh orang lain yang mungkin dah lama perhatikan gerak-geri mereka. Urut dada sajalah. Kalaulah video ini ditonton oleh kedua-dua ibubapa pasangan tersebut, mungkin boleh pengsan dibuatnya. Cukuplah rasanya sekadar menunjukkan gambar sahaja. Itu baru sedikit.

Inilah gambar yang dimaksudkan. Maaf, bahagian sensitif perlu disensorkan.
















Kes-kes begini diikutkan telah merebak lebih awal lagi. Tambahan pula dengan wujudnya media sosial yang bermacam-macam sekarang mempercepatkan lagi proses penyebaran “virus” dahsyat ini kepada masyarakat. Sebelum ini dalam laman sosial yang sama, dua remaja memuatnaik gambar sambil berpelukan dimana perempuan hanya beralaskan tuala dan lelaki tidak berbaju. Gambar dimuatnaik sebagai tanda sayang kononya. Paparkan kepada umum. Dah ada ikatan atau belum? Kalau ya sekalipun wajarkah didedahkan kepada umum. Memang tak faham dengan pemikiran remaja sekarang. Adakah media sosial sekarang merupakan tempat untuk melepaskan segala perasaan dan tindakan? Adakah media sosial ini juga sebenarnya punca kepada semua permasalahan ini.


Menurut Peg Streep (2013), seorang pemerhati trend digital dan remaja, beliau menulis dalam laman Psychology Today, terdapat empat sebab utama media sosial menjadi kegilaan remaja.

Pelbagai rangkaian media sosial

1. Mendapatkan perhatian
Hasil kajian dari Pew Research Center Study , AS, menunjukkan bahawa sebahagian besar remaja berkongsi maklumat di media sosial. Pelbagai maklumat menjadi kunci bagi mereka untuk mendapatkan perhatian bagi diri mereka sendiri. Mereka seringkali mengeluh tentang oversharing yang dilakukan pengguna media sosial lain. Padahal, mereka sendiri juga terjebak di dalamnya. Mereka berkongsi begitu banyak hal (walaupun yang bersifat peribadi) di dalam media sosial.

2. Meminta pendapat
Remaja seringkali meminta pendapat dan persetujuan rakan-rakannya untuk memutuskan sesuatu. Itu wajar jika di dunia nyata. Namun, dengan adanya media sosial, mereka akan cuba meminta pendapat untuk hal yang tidak penting. Contohnya, mereka akan sering memuatnaik gambar untuk sekadar melihat bagaimana komen rakan-rakannya. Semakin banyak pujian atau sekadar " Like " di Facebook akan membuat mereka merasa popular. Dengan kata lain, media sosial menjadi penunjuk populariti meraka. Ada "kepuasan intrinsik" pada remaja jika mereka popular di media sosial. Bukan hanya melalui gambar, remaja seringkali menulis status yang berisikan permintaan pandangan daripada rakan-rakan mereka . Ini bukanlah hal yang penting untuk dibahagikan.

3. Meningkatkan imej
Media sosial tidak akan mampu menghuraikan peribadi seorang pengguna secara lengkap. Oleh sebab itu, remaja menjadikan media sosial sebagai penambah imej positif mereka. Remaja akan cenderung memberikan kesan yang baik ketika di media sosial. Mereka berharap orang lain melihat mereka seperti apa yang mereka harapkan.

4. Ketagihan
Media sosial membuat remaja ketagih. Mereka akan sukar mengalihkan pandangan dari situ. Mereka "terperangkap" dalam lingkaran drama media sosial. Walaupun mereka terus mengeluh tentang "drama" dalam media sosial, hakikatnya mereka juga pelaku drama tersebut.

Berdasarkan kajian tersebut dapat disimpulkan bahawa media sosial sebenarnya bukanlah antara sebab utama peningkatan masalah sosial remaja mahupun kes jenayah. Kalau dilihat secara umum, media sosial hanyalah sebagai medium perhubungan antara masyarakat dengan menggunakan teknologi. Dalam dunia sekarang, jumlah media sosial cukup banyak. Peningkatan ini jika dilihat boleh memberi impak negatif tetapi masyarakat itu sendiri perlu bijak dan peka dengan penggunaan medium ini ke arah jalan yang lebih baik atau positif. Bukannya nak mengharapkan orang lain. Diri sendiri dulu kena buat. Bagi remaja tindakan mereka perlu lebih berhati-hati, nanti tak pasal-pasal malu dengan perbuatan sendiri. Contoh mudah, video isteri pemain bola sepak Kelantan yang menjadi popular gara-gara tindakan sendiri yang memaki pengawal keselamatan. Tujuan nak mengaibkan orang lain tapi memakan diri sendiri. Alahai Mat Yo! Bukan nak mengata tetapi maksudnya jelas. 



Baru-baru ini juga bagaimana seorang remaja perempuan berbangsa Cina yang hilang ditemui mati selepas bertemu dengan rakan media sosial yang baru dikenali. Sudahlah belum kenal tetapi beranikan diri untuk berjumpa. Akhirnya dia telah dibunuh dan mayatnya telah disumbatkan dalam beg. Inikah yang dikatakan cinta pandang pertama? Mungkin? Tiada niatpun untuk menghina si mati, tetapi kes ini boleh dijadikan iktibar kepada remaja yang lain. Itu belum lagi diceritakan kes-kes ditipu melalui perniagaan secara atas talian terutamanya membabitkan rangkaian media sosial seperti facebook dan twitter. Kalau nak disenaraikan di sini, sangat banyak. Mungkin kena tambah muka surat lagi.

Remaja perempuan yang dipercayai hilang dan dibunuh
kejam oleh rakan kenalan internet.
Apa-apa pun, media sosial juga perlu berperanan untuk kebaikan. Datuk Seri Dr. Rais Yatim (2011) ketika berucap pada Persidangan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Telecom World 2011 di Geneva menyatakan, media sosial perlu berperanan untuk membawa kebaikan kepada manusia dan bukan sekadar berpaksikan pada kegemilangan dan tarikan mencipta gelombang perubahan. Media sosial mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat dan patut beroperasi mengikut undang-undang dan hak asasi individu. Apa yang sedang diperkatakan ialah mengenai peranan media sosial sebagai jentera perubahan dan pencipta permainan baru tetapi kita tidak bercakap mengenai bagaimana kita boleh menggunakannya untuk kebaikan masyarakat dan keluarga dan untuk kita tidak kehilangan nilai positif kita. 

Penggunaan media sosial, kata beliau, patut digalakkan tetapi pihak yang terbabit secara langsung dalam perkara itu patut mempunyai konvensyen mereka sendiri mengenai apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat. Mereka yang terbabit secara langsung dalam media sosial ini perlu berpegang pada nilai tertentu mengenai kesesuaian amalan berkenaan.

            Oleh itu, apa yang cuba diceritakan disini adalah bagaimana media sosial itu memberi pengaruh dalam masyarakat. Apakah tindakan kita dalam menggunakan media sosial sekarang ini sejajar dengan implikasi yang bakal diperoleh? Pastinya pemilik-pemilik laman sosial ingin menjana keuntungan tetapi mereka tidak berniat untuk mencipta laman-laman sosial tersebut sebagai kaedah untuk mencipta amalan-amalan atau tindakan negatif daripada pengguna. 


Facebook antara laman sosial
yang popular di dunia
Sekiranya perkara itu berlaku bukan atas kehendak mereka. Kita sendirilah yang kena fikir. Persoalannnya media sosial yang ada pada masa sekarang lebih mendatangkan kebaikan atau keburukan? Seiring dengan perkembangan teknologi semasa, adakalanya media sosial amat diperlukan tetapi pada masa yang sama kita juga mempunyai saluran yang lain. Wajar atau tidak kalau media sosial ini dihapuskan? Pilihan masing-masing.