Isnin, 30 September 2013

ENTRI BLOG 1: "Malaysia Dah Tak Selamat"


Benarkah Malaysia dah tak selamat? Membaca tajuk di atas saja sudah membuatkan kita sebagai rakyat Malaysia berasa terkejut dan takut. Kenapa Malaysia yang dalam keadaan aman dan selamat ini tiba-tiba dikejutkan dengan satu situasi atau keadaan yang boleh mengancam keselamatan negara. Apakah bahaya yang menanti kita sebenarnya? Adakah ianya berkaitan dengan pergolakan yang berlaku di negara-negara Timur Tengah seperti Mesir dan Syria yang lebih dikenali sebagai Arab Spring akan terjadi di Malaysia, atau Malaysia akan berdepan dengan peperangan dengan Amerika Syarikat kerana memiliki senjata nuklear. Sesuatu yang mustahil. Mungkin juga boleh dikatakan kita akan berdepan dengan malapetaka dahsyat seperti tsunami, gempa bumi atau dihentam asteroid.
Sebenarnya tidak ada satu pun yang dikatakan itu akan berlaku tetapi risikonya tetap ada. Walaupun Kajian Indeks Keamanan Global (GPI) 2011 mendapati Malaysia negara ke 19 paling selamat didunia dan turut meletakkan negara paling aman di Asia Tenggara dan keempat di Asia Pasifik, namun kita tidak terlepas untuk menduduki tangga ke enam dunia sebagai negara yang berisiko tinggi terdedah kepada ancaman jenayah siber. Macam tak percaya. Tapi itulah yang dikeluarkan oleh Laporan Ancaman Keselamatan Sophos 2013.
Pada hakikatnya negara kita lebih bahaya daripada istilah selamat yang dikaji GPI itu. Jenayah Malaysia bukan setakat siber tapi melibatkan senjata api. Cuba kita tengok, tahun 2013 ini sahaja kejadian tembakan berlaku di merata tempat sehinggakan tahun ini dikenali sebagai tahun kes tembakan profil tinggi yang tertinggi pernah dicatatkan. Inilah yang membahayakan Malaysia sebenarnya. Bayangkan dalam tempoh 95 hari sahaja telah berlaku 12 kes tembakan. Secara purata boleh dikatakan satu kes tembakan seminggu. Sekarang sama ada tembakan sebegini perkara lazim atau hanya disensasikan media, semua orang sudah mula risau dan mempersoalkan pihak polis. Memang tak faham. Kalau nak minta orang tolong jaga atau kawal kita sampai bila pun tak boleh berjaya. Bahaya tak bahaya kita sendiri kena pandai jaga diri dan hidup dalam kepura-puraan yang selamat dan selesa di negara ini.
Kes-kes begini sebenarnya dah berlaku lama tetapi tahun-tahun yang mendatang ini keadaan makin tidak terkawal malah boleh menjadi barah dalam masyarakat. Nanti mungkin orang akan anggap yang kes tembakan ini hanya sebagai permainan dalam sukan Paintball dan bukannya jenayah berat.


“Pembunuhan menggunakan senjata api yang semakin berleluasa merupakan fenomena baru dan mungkin melibatkan ‘pembunuhan upahan’. Kes jenayah kini tidak lagi berunsur rompakan atau saman tetapi bermotif isu peribadi dan modus operandi penjenayah terbabit dirancang dengan rapi.” – (Tan Sri Zaman Khan, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah).

Cuba kita tengok, Tan Sri Zaman Khan sendiri pun akui benda yang sama. Malah pada zamannya dulu kes tembakan ini sering disabitkan sebagai samun atau rompakan sahaja tetapi sekarang ini pembunuhan terancang.
Kalau kita kaji semula, kes yang berlaku pada tahun ini bermula 25 April 2013 dimana N. Ragunathan telah ditembak mati di dalam kereta di Jalan Seremban-Tampin dan kes yang sama berulang setiap bulan sehinggalah yang terakhir didengar adalah pada 29 Julai 2013 yang mana Pengasas Ambank, Hussain Ahmad Najadi dan isteri telah ditembak di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur. Dahsyat. Dengar pun menyeramkan. Silap haribulan kita pula yang menjadi mangsa.
Sebenarnya apa puncanya? Daripada 12 kes ini, modus operandi yang digunakan hampir sama sahaja iaitu di persimpangan lampu trafik, dua orang lelaki bermotosikal terlibat dan mangsa ditembak sewaktu memandu meninggalkan pejabat atau kediaman. Berkemungkinan besar kes-kes tembakan ini adalah satu operasi khusus yang mengkaji kegiatan dan rutin mangsa dan juga menggunakan khidmat pembunuhan upahan. Boleh jadi benda ini semua betul. Kalau kita dengar tentang cerita orang ramai, sesiapa saja boleh upah pembunuh upahan dari Thailand dengan kos serendah RM3000. Jadi, tak mustahil apa yang berlaku ini ada kaitan. Tambahan pula Thailand bukanlah jauh dari negara ini. Memang Malaysia sekarang dah tak selamat. Bahaya! Bahaya!
Ada juga yang kata semua kes ini berlaku disebabkan undang-undang negara kita tidak ketat atau tegas. Zahirnya memang begitu pun. Undang-undang ada tapi penguatkuasaan lemah. Menurut kajian PDRM, 80% kejadian tembak atau jenayah dinegara ini dilakukan semula oleh banduan yang pernah ditahan di bawah akta ordinan darurat (EO) atau akta keselamatan dalam negeri (ISA). Macam mana boleh jadi begini? Sebab mudah, kerajaan terlalu mengikut rentak pembangkang yang mendesak kedua-dua akta ini dibubarkan atau dimansuhkan. Lepas itu, kerajaan akan digelar dungu dengan mengikut apa saja kata pembangkang.
Sepatutnya sebagai pemerintah, keselamatan negara dan rakyat perlu diutamakan tidak kiralah sama ada sesuatu akta itu masih relevan atau tidak. Ketepikan semua hal yang kurang penting. Salah pembangkang juga kerana minta akta yang begitu penting dalam soal keselamatan dibubarkan atas alasan menegakkan hak asasi manusia dan memperjuangkan keadilan dalam negara. Akhirnya bila perkara begini tidak dapat dikawal lagi mulalah pembangkang mengalih pandangan rakyat ke arah lain dengan menunding semula jari kepada kerajaan. Kerajaan sekali lagi dipersalahkan. Hakikatnya kedua-dua pihak sama bersalah. Tak payah bermain jari menunding orang itu salah atau orang ini salah. Ini bukannya lagu ‘Bangau Oh Bangau’. Sekarang yang menjadi mangsa kita semua. Sentiasa takut. Hidup dalam bahaya.
Bekas-bekas banduan atau tahanan ini bila dilepaskan, mereka akan pulang semula ke tempat asal mereka. Sudah semestinya semua kerja yang belum dibereskan sebelum ditangkap dulu akan dilaksanakan semula. Ini semua adalah bermotifkan dendam. Tanpa memikirkan buruk baiknya, mereka akan bunuh saja. Tetapi harus diingat mereka yang disabit kesalahan ini juga mungkin atas faktor mereka sendiri yang melakukan kesalahan, sebab itu mereka ditahan dibawah akta tersebut. Tak faham betul. Masih ada orang yang berperangai macam ini.
Pandangan yang disuarakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri tentang perkara ini ada betulnya juga.
“Yang ditahan itu adalah gangster, ahli kongsi gelap dan penjenayah tetapi yang disalahkan ialah pihak polis. Berlaku adillah kepada pihak polis.”(Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi)

Sekarang ini apa yang boleh dibuat adalah bekerjasama demi memastikan keselamatan semua dan negara ini dalam keadaan selamat. Tidak ada salahnya kalau kerajaan kembalikan semula Akta EO dan ISA sebab akta ini adalah satu langkah berkesan menangani jenayah berat, terancang dan berkumpulan. Bukannya untuk menindas masyarakat ataupun menganiaya tetapi bertujuan mengawal cengkaman jenayah. Ini adalah soal nyawa rakyat dan keselamatan negara, soal kestabilan dan imej negara. Jangan sampai rakyat Malaysia dah tak yakin dengan keselamatan dalam negeri sekarang sudahlah. Tiada gunanya memegang gelaran negara paling selamat kalau hakikatnya tidak. Pada masa sekarang ini, adakah anda rasa Malaysia selamat? Dalam bahaya sebenarnya. Tetapi terpulang pada anda sebab masing-masing boleh berfikir.